Wednesday 15 June 2011

ICT - Jadikan P&P menarik


Kursus teknologi komunikasi maklumat (ICT) memberi perubahan yang besar dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) jika ia dimanfaatkan dengan sewajarnya oleh seorang guru.
Ini dialami sendiri oleh guru bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan Penaga, Seberang Perai, Ahmad Radhafizal Che Kassim.
Ahmad Radhafizal telah menjalani dua kursus ICT iaitu Bimbingan Perguruan Profesional dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BPPT) oleh Prestariang Technology Sdn. Bhd. dan Latihan Penggunaan Peralatan ICT Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) oleh Time Systems Integrators Sdn. Bhd.
Melalui dua kursus itu, beliau kini mahir menggunakan Microsoft Excel sekali gus membolehkannya menyediakan lembaran kerja soalan-soalan secara interaktif serta memudahkan pengredan markah ujian dan peperiksaan.
Dengan menggunakan perisian biasa yang sedia ada dalam komputer juga seperti Microsoft Powerpoint serta bantuan kamera digital untuk memasukkan gambar, perkara yang sukar dapat diatasi.
Kemahiran
Katanya, ini menjadikan kerja-kerja pentadbiran guru lebih mudah.
``Setiap guru harus diberi peluang untuk menghadiri kursus-kursus sebegini kerana ia dapat menambahkan pengetahuan ICT yang sedia ada,'' katanya.
Malah katanya, internet banyak membantunya dalam menyediakan bahan bantuan mengajar dalam bilik darjah.
``Apa yang penting sebagai guru kita mestilah terus belajar dan memahirkan diri dengan pelbagai kemahiran ICT supaya menjadi lebih inovatif, efektif dan berinformasi dalam mendidik anak bangsa,'' ujarnya.

Menurut beliau juga, guru-guru tidak perlu takut komputer yang digunakan akan jadi rosak, sementara pihak pentadbiran sekolah wajar memberi galakkan kepada guru-guru untuk mencuba sesuatu yang baru menggunakan komputer.

Kesungguhannya dalam menambahkan ilmu ICT membuka peluang kepadanya untuk terpilih menyertai Persidangan Guru-Guru Inovatif Asia di Seoul Korea, anjuran Microsoft pada tahun lalu.

Beliau terpilih setelah menghasilkan penyediaan rancangan mengajar semasa menjalani kursus BPPT.

Menurut Ahmad Radhafizal, kemahiran dalam ICT telah berjaya membawanya ke tahap membanggakan sekarang malah dia merasakan profesion sebagai guru adalah pekerjaan paling sesuai dan yang dicita-citakan selama ini.

Beliau juga merupakan contoh bahawa seorang guru biasa boleh menggunakan ICT untuk meningkatkan keberkesanan P&P.

Projeknya telah dipamerkan sempena Pameran Kecemerlangan Pendidikan sempena Hari Guru di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

3 comments: